Depresi: Ini Kisah Saya

Depresi: Ini Kisah Saya
Depresi: Ini Kisah Saya

Depresi: Ini Kisah Saya

Saya berumur 26 tahun, dan saya telah bergelut dengan masalah ini lebih dari 3 tahun.

Tidak ramai yang ingin mengungkit atau bercakap mengenai isu kemurungan atau depresi, jadi adalah agak sukar bagi seseorang seperti saya untuk mendapatkan pertolongan yang diperlukan. Apabila saya memperhatikan keadaan sekeliling, saya sedar bahawa saya tidak seperti wanita lain. Walaupun mempunyai keluarga yang agak besar, namun saya sentiasa berasa keseorangan. Saya risau akan kehilangan keluarga dan rakan-rakan sekiranya mereka tahu akan ‘penyakit’ yang saya hadapi. Bila saya bekerja, saya dapat menyembunyikan perasaan cemas atau gelisah (anxiety) yang saya hadapi. Inilah cara saya ‘melarikan diri’. Tiada siapa yang bercakap dengan saya di pejabat. Ketika waktu makan tengah hari, saya memilih untuk bersendiri.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, kami terpaksa berkerja dari rumah, dan kesunyian mula membuak dalam diri. Apabila rasa terdesak, saya akan mengambil keputusan untuk keluar rumah selama beberapa jam. Namun sekarang, pergerakan saya terhad dan terhalang. Saya buntu. Saya rasa sukar untuk bernafas. Saya mulai bergelut dengan perasaan seperti ditinggalkan dan kesunyian.

Cara saya mengatasi masalah saya? Saya mula mengelar perut saya ketika bersendirian di bilik air. Kesakitan membuat saya lebih baik dan membantu saya untuk melupakan semuanya. Apabila adik-beradik saya mendapat tahu dan kemudiannya memberitahu ibu bapa saya berkenaan luka dan darah yang ada pada badan, saya dimarahi. Walaupun pada mulanya saya berang, tapi keluarga saya telah membuka mata saya, dengan berkali-kali mengingatkan bahawa perbuatan sebegini bukan perkara biasa. Mereka, secara tidak langsung telah membantu saya mengakui yang saya bermasalah dan memerlukan bantuan.

Akhirnya, saya telah membuat keputusan untuk mendapatkan pertolongan. Selepas menjalani rawatan, saya faham bahawa mencederakan diri sendiri bukanlah salah saya. Ia adalah tindak balas kimia tidak seimbang yang berlaku pada otak saya. Pada April 2021, saya didiagnos dengan borderline personality disorder yang mendorong saya untuk mencederakan diri sendiri.

Hari ini, saya lebih tenang. Saya belum sihat sepenuhnya tetapi saya tahu, dengan rawatan yang betul, saya akan bertambah baik. Tidak lama lagi, saya akan mula bekerja semula dan berharap dapat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan.

Jika anda seperti saya, janganlah segan atau takut untuk mendapatkan bantuan. Ramai di luar sana yang sedia untuk mendengar dan membantu. Percayalah!!

 

Related Posts
X
Hello, you can choose which representative you want to talk to.